Sejarah Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (Singapura)

Asal Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (MRT) adalah daripada ramalan oleh pihak perancang bandar pada 1967 yang menyatakan perlunya sistem pengangkutan bandar berasaskan kereta api pada 1992.[3][4] Berikutan perbahasan sama ada sistem pengangkutan bas sahaja akan menjadi lebih menjimatkan kos, Timbalan Perdana Menteri Singapura ketika itu, Encik Ong Teng Cheong menyimpulkan bahawa sistem itu tidak memadai kerana ruang jalannya memerlukan tanah yang sememangnya kekurangan di negara ini.[5][6]

Pembiayaan awal pembinaan MRT sebanyak S$5 bilion merupakan pembiayaan projek awam terbesar pada ketika itu dan projek itu dimulakan pada 22 Oktober 1983 di Shan Road.[7] Rangkaian kereta api tersebut dibina secara berperingkat, di mana Laluan Utara Selatan diberikan keutamaan kerana ia melewati Kawasan Tengah yang mempunyai permintaan tinggi untuk pengangkutan awam. Mass Rapid Transit Corporation (MRTC), yang kemudiannya dinamakan semula sebagai SMRT Corporation telah ditubuhkan pada 14 Oktober 1983 bagi mengambil peranan dan tanggungjawab daripada Penguasa Sistem Pengangkutan Gerak Cepat.[5]

Pada 7 November 1987, bahagian pertama Laluan Utara Selatan mula beroperasi, yang terdiri daripada lima buah stesen dengan panjang laluan melebihi 6 kilometer (3.7 mi).[7] Lima belas buah stesen lagi dibuka kemudian dan sistem MRT dilancarkan secara rasmi pada 12 Mac 1988 oleh Perdana Menteri waktu itu, Encik Lee Kuan Yew. Sebanyak 21 stesen kemudiannya ditambah ke dalam sistem; pembukaan stesen Boon Lay di Laluan Timur Barat pada 6 Julai menandakan penyiapan sistem dua tahun lebih awal daripada jadual.[8][9]

Sistem Pengangkutan Gerak Cepat kemudiannya terus berkembang. Pengembangan pertama yang bernilai S$1.2 bilion dijalankan bagi Laluan Utara Selatan melalui Woodlands, menggabungkan Laluan Cabang ke dalam Laluan Utara Selatan dan mencantumkan stesen Yishun dan Choa Chu Kang.[10] Konsep untuk mendekatkan estet perumahan dengan rangkaian kereta api membawa kepada pengenalan laluan–laluan Sistem Rel Ringan (LRT) bagi menghubungkannya dengan MRT[10][11] dan perkhidmatan LRT pertama di Bukit Panjang mula beroperasi pada 6 November 1999.[12] Pada tahun 2002, stesen Lapangan Terbang Changi dan Expo telah ditambah ke dalam rangkaian MRT.[13] Laluan Timur Laut, laluan kereta api pertama yang dikendalikan oleh SBS Transit dibuka pada 20 Jun 2003 dan laluan ini merupakan salah satu daripada laluan rel berat automatik penuh pertama di dunia. Pada 15 Januari 2006, selepas daripada proses melobi yang sengit daripada orang awam, stesen Buangkok telah dibuka.[14][15] Lanjutan Boon Lay bagi Laluan Timur Barat, meliputi stesen Pioneer dan Joo Koon memulakan operasi pada 28 Februari 2009.[16][17] Laluan Circle (Laluan Lingkaran) dibuka dalam empat tahap bermula pada Mei 2009 sehingga Januari 2012. Tahap 1 bagi Laluan Downtown (Laluan Pusat Bandar) dibuka dibuka secara rasminya oleh Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong pada Disember 2013[18][19] manakala tahap 2 laluan itu pula dibuka pada Disember 2015.[20]

Rujukan

WikiPedia: Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (Singapura) http://www.alstom.com/press-centre/2012/2/alstom-t... http://itunes.apple.com/sg/app/mytransport-singapo... http://news.asiaone.com/News/AsiaOne+News/Singapor... http://news.asiaone.com/News/The+New+Paper/Story/A... http://www.asiaone.com/News/AsiaOne+News/Singapore... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pembinaa... http://www.bootsnall.com/articles/11-11/15-of-the-... http://www.channelnewsasia.com/cna/obituaries/ongt... http://www.channelnewsasia.com/news/singapore/down... http://www.channelnewsasia.com/news/singapore/govt...